Dah lama betul, blog ni tak dijenguk.. Seperti biasa, kesibukan yang teramat telah menghadkan masa yang terluang bagi ku untuk bersantai di sini. Nasib baik la tak bersawang dan bersemak-samun.
Sebenarnya, aku baru saja pulang dari pengembaraan di India bersama Inaz. Pengembaraan selama 7 hari (28 Feb 2011 – 6 Mac 2011) itu sesungguhnya telah mencelikkan mata serta minda dengan pengalaman 3 rasa - manis, pahit dan tak lupa juga yang ngeri bagi aku dan Inaz yang mana akan terpahat buat selama-lamanya di dalam lipatan memori.
September 2010
Keputusan untuk ke India dibuat. Tiket penerbangan pergi-balik KL-Bangalore-KL ditempah. Inaz mula membuat perancangan awal dengan menempah perkhidmatan tour guide dgn Mr Ajaz dari Kashmir. Percutian di Delhi-Agra-Jaipur mula dirancang. Aku mula mencari maklumat tentang percutian di india. Berikut adalah link Cari Forum yang sarat dengan pengalaman yang dikongsi oleh pelancong-pelancong yang pernah ke sana: http://forum.cari.com.my/viewthread.php?tid=306482&extra=page%3D3
27 Februari 2011
Persiapan dibuat, beg dipenuhkan dgn makanan serba ringan dan serba berat bagi memenuhi permintaan Inaz, termasuk roti gardenia 2 buku, pelbagai jenis buns, kari kambing, lembu dan ayam yg ditin... Malam tu, aku masakkan pula sambal daging dan sambal tumis ikan bilis...dah rindu air tangan mama, kata Inaz... Fuh, banyaknya makanan, boleh ke habis semuanya, fikirku. Nak pergi cuma seminggu ...tak apalah, biar lebih, jangan tak cukup. Lagipun elok sediakan payung sebelum hujan, sediakan makanan sebelum lapar. Ye la, boleh juga berjimat-jimat sikit masa kat sana. Kurangkan makan di kedai. Bukan apa, risau juga, bila dengar ramai yg beri saranan supaya berhati-hati . Ramai yg ke India mengalami masalah cirit-birit. Keadaan di sana kurang bersih. Malam tu adik-adik datang .... Diana, Azman, Izham, bersama anak-anak saudara tersayang....ucap selamat berangkat sambil menghulurkan buah tangan untuk dibawa ke sana. Aduhai...terharunya..kak long pergi bukannya lama..tak payah susah-susah beri buah tangan. Apapun, Alhamdulillah...thank you adik-adik!!
28 Februari 2011
Tarikh yang dinanti-nantikan tiba jua.
11 pagi : Dengan perasaan gembira berbaur sayu, aku melangkah keluar dari rumah utk ke LCCT dihantar suami (abah). Gembira kerana akan bertemu Inaz yang sangat dirindui, sayu kerana pemergianku tidak berteman..terpaksa meninggalkan abah, Izzat dan Nabil...biasanya kami berlima bersama bila bercuti.. ke mana pun, pasti berlima. Tapi apakan daya kali ini, waktu cuti Inaz tak bertembung dgn waktu cuti adik-adiknya. Aku pergi sendiri.
Panggilan telefon dari ayah: Ayah memberitahu bahawa dia bersama mak akan turut ke LCCT dari Melaka. Ya ALLAH...”ayah, tak payah datang. Jauh. Nanti ayah dan mak penat. Pergi pun tak lama...Cuma seminggu. Kalau ayah mak nak datang, datanglah minggu depan masa Inaz balik sama.” Risaunya. Ayah dan mak bukannya sihat sangat. Mak pernah diserang stroke 2 kali beberapa tahun lepas. Ayah pula kerap terkena atrial fibrillation – satu keadaan di mana degupan jantung menjadi laju dan tak sekata (tachycardia). Berkali-kali aku cuba memujuk ayah supaya ubah fikiran, tapi dia dan mak tetap tidak berganjak dari keputusan untuk ke LCCT.
Ayah: “Tunggu sampai ayah mak sampai. Dapat jumpa sekejap pun, jadilah. Minta Man tunggu ayah di depan LCCT untuk park kan kereta”.
Ya ALLAH...lindungi mereka dalam perjalanan.
Kami singgah di kawasan rehat Subang Jaya. Adikku Imran sedia menanti. Ah...lagi buah tangan buat bekalan ke India. Serunding udang dan sambal kentang kering pemberiannya, Siti dan mak cik. Terima kasih semua!!
LCCT: Proses “check in” berjalan lancar. Ayah mak pun dah selamat sampai. “Ayah pandu laju tadi, takut tak sempat sampai.”...speeding? Alhamdulillah, tak ada apa-apa yang tak diingini berlaku dalam perjalanan, fikirku.
Tak lama kemudian, satu kejutan lagi. Diana, Faiz dan Syahmi pulak sampai. Ramainya yang menghantar.... “Ana datang juga? Tak kerja ke hari ni? Ana ambil cuti semata-mata nak hantar kak long..?” Tersentuh... Selepas makan tengahari kami berjalan ke “gate”. Dah tiba masa untuk aku berangkat. Aku toleh ke belakang..ayah berjalan agak perlahan, dipimpin Faiz. “Ayah memang penghidap arthritis. Kesian ayah dan mak, sanggup bersusah-payah datang dari jauh", bisik hati kecilku. Timbul rasa sebak.. Terima kasih, ayah dan mak...
Setelah bersalaman, aku pun melambaikan tangan sambil mengorak langkah memulakan pengembaraan sulung ke negara nenek moyangku. Selamat tinggal Malaysia..
Ya ALLAH lindungi perjalanan ku pergi dan balik. Pelihara semua ahli keluargaku di Malaysia, sepanjang ketiadaan ku. Amin.
Ish...seminggu saja kan..hati sebak bagaikan nak pergi bertahun.
Sebaik saja memasuki ruang udara India, aku terjenguk-jenguk ke luar tingkap. Oh...begini rupanya bumi India..banyak kawasan tanah merah, berbukit...tak tidur aku walau sepicing...rasa teruja. I’m here at last..!!! Rasa tak percaya....
4.35 ptg (waktu tempatan): Aku selamat tiba di Lapangan Terbang Bengaluru, Bangalore, India. Alhamdulillah... Aku menjenguk lagi ditingkap pesawat... Besar juga airport di India ni....
Setelah melepasi pegawai imigresen dan mengambil bagasi...aku berjalan keluar. Mana inaz ni...tak sabar rasanya nak menatap wajah anak sulung manjaku.... Hah!! Tu dia!! Berdiri betul-betul di depan pintu keluar. Mama!! ...... Inaz!! Syukur Ya ALLAH...anakku kini dalam dakapan.
Inaz lapar? Mama ada bawa sambal dan nasi....Nak! Nak!! Haha..apalagi...bersila sang anak atas kerusi sambil menikmati nasi cap Jati Malaysia bersama sambal daging. Peduli apa orang tengok....suap demi suap.. hmmm..sedapnya, ma...dah lama inaz tak makan daging...
Penerbangan Jet Lite Airways ke Delhi ditunda.. Ah, tak mengapa...tak terasa pun..macam-macam yang dibualkan..macam-macam yang ditanya inaz.. Kalau delay semalaman pun, rasanya aku tak kisah. Seronok berbual bersama Inaz...masa terasa berlalu pantas.
Ruang menunggu selesa..sama seperti di KLIA. Aku terpandang sebuah kedai ...SALE 51% off...? Unik...
Penerbangan ke Delhi mengambil masa 4 jam. Lamanya...luas juga India ni.... Delhi terletak di utara India. Semasa menghampiri ruang udara Delhi, kami menjenguk keluar tingkap. Waaahhh.....dari kerlipan lampu..Delhi nampak begitu padat...benar ke kata orang penduduk Delhi sangat ramai? Benar ke apa yang aku baca di Cari Forum bahawa Delhi digelar “the big toilet”? Ewww..... Benar ke ramai orang miskin, “homeless” yang tak punya kemudahan asasi? Benar ke semua tu? Benar ke bau hancing akan menusuk hidung sebaik keluar dari airport? Tunggu dan lihat..
Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, Delhi sangat cantik dan moden. Persis KLIA. Lantainya pula dialas permaidani tebal... Impressed!!
Selepas mengambil bagasi, kami pun keluar. Mana pulak driver yang sepatutnya memegang kertas yang tertera nama FARAH INAZ ? Tak nampak pun batang hidung dia..setelah Mr Ajaz dihubungi, akhirnya kami bertemu juga dengan Mr Rana, tour guide merangkap driver kami. Bersama Mr Rana ni lah kami menghabiskan 3 hari di Delhi-Agra-Jaipur-Delhi. Kami melangkah keluar dari bangunan airport. Sejuknya...suhu 17C...penghujung winter di Delhi, kata Mr Rana... Sniff sniff....ada tak bau hancing yang diperkatakan tu? Tak de pulak...
Pengalaman pertama: Enjin kereta Mr Rana tak boleh dihidupkan. Battery flat. Sabaaaar je la....boleh jadi macam ni ya...India oh India...nasib baik la ada 2-3 orang yang rela membantu menolak kereta tu hingga enjinnya hidup..ternganga aku tak terkata....”Please get in..” Alamak...cuak juga...tak yakin aku dengan kereta ni... tapi tak ada pilihan lain..hari pun dah melewati jam 1 pagi. Tawakkal je la inaz...
Kami di bawa ke Hotel Suncourt, di tengah-tengah kota Delhi. Disitu lah kami bermalam. Biliknya boleh tahan la. Letih... Sebelum tidur, Inaz makan lagi...berselera saja dia...memang berbaloi masak malam semalam. Selamat malam India!! Esok kita menjelajah Delhi!
Bersambung....zzzzzzzzzz....











